Kerbau punya pasal, ambulans hilang kawalan

Kerbau punya pasal, ambulans hilang kawalan

Kota Belud: Sebuah ambulans hilang kawalan selepas seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan dan menyebabkan kenderaan terbabit bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Kota Belud-Kota Kinabalu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, semua individu yang terlibat iaitu masing-masing pemandu ambulans dan pacuan empat roda, doktor, jururawat dan pesakit wanita terselamat.

Pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Kesapang, Kota Belud. Pix ihsan media sosial

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan sebuah ambulans yang membawa penumpang termasuk pesakit dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati ambulans milik Hospital Kota Marudu yang dipandu seorang lelaki 40 tahun bersama seorang doktor berusia 30 tahun dan jururawat berusia 41 tahun serta seorang pesakit wanita berusia 37 tahun dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

“Ketika berada di lokasi kejadian, ambulans itu terlanggar seekor kerbau yang tiba-tiba melintas di hadapan dan menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum terlanggar sebuah pacuan empat roda dari arah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrudin berkata, kedua-dua pemandu bersama tiga penumpang termasuk doktor, jururawat dan pesakit tidak mengalami kecederaan.

“Kes masih disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial mengenai kemalangan itu dipercayai salah seorang mangsa yang terlibat memaklumkan kejadian berpunca daripada kerbau berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan perlu mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan dalam keadaan yang baik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|