Lawrence Gimbang dilantik Presiden KBDS

Lawrence Gimbang dilantik Presiden KBDS

Kota Kinabalu: Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Lawrence Gimbang dipilih sebagai Presiden Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) pada Mesyuarat Agung Dwitahunan Pertama (AGM) yang diadakan di Dewan Nuluhon Garden Retreat House, Kionsom Inanam, di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun pula dipilih sebagai Timbalan Presidennya manakala Petrus Guriting menyandang jawatan setiausaha.

Gimbang ketika berucap sempena Mesyuarat Agung Dwitahunan Pertama KBDS.

Jawatan bendahari pula disandang oleh Lothar Michael manakala Damian Marcus Podtung dipilih penolong setiausaha.

Empat Ahli Jawatankuasanya yang dipilih ialah Dato Webley Disim, Alex Kando, Soguli Olid dan Sitiamah Sahat.

Kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Lawrence berkata, persatuan itu bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Kadazan dan Dusun bertutur dalam bahasa Dusunik mengikut dialek masing-masing supaya bahasa itu tidak akan pupus ditelan zaman.

Menurutnya penubuhan KBDS itu penting memandangkan terdapat kajian yang menjangka bahasa Dusunik berkemungkinan pupus dalam tempoh 30 tahun sekiranya tiada usaha menggalakkan penggunaan bahasa itu.

“Atas kesedaran inilah lahir idea untuk menubuhkan Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah.

“Kita bangga bahasa kita, dan kita mahu galakkan penduduk Kadazandusun supaya terus memelihara, mempelajari dan bertutur dalam bahasa Dusunik,” katanya.

Lawrence berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Agung Dwitahunan Pertama KBDS.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata KBDS bercadang untuk mewujudkan Muzium Dusunik di Pedalaman, Tuaran, Kota Marudu dan Ranau.

Katanya persatuan itu turut mencadangkan supaya kerajaan Sabah mewujudkan Unit Pelestarian Bahasa Orang Asal Sabah di bawah seliaan Jabatan Ketua Menteri oleh Jawatankuasa Induk Pertubuhan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|