LV dan Chanel disyaki tiruan dirampas

LV dan Chanel disyaki tiruan dirampas

Kota Kinabalu: Tiga premis diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas disyaki menjual barangan mewah tiruan, dalam operasi selama dua hari yang berakhir, semalam.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 437 barangan aksesori wanita yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang jenama ‘Louis Vuitton (LV)’ dan ‘Chanel’ yang disyaki tiruan dirampas.

Ketiga-tiga premis berkenaan didapati menjual pelbagai barangan jenama Chanel dan LV yang disyaki tiruan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, semua barangan yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM10,573.30.

Katanya, tindakan kes diambil mengikut Akta Cap Dagang 2019 di tiga premis perniagaan berbeza di sekitar daerah Kota Kinabalu dan Penampang.

“Serbuan dijalankan sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Sabah bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama ‘Louis Vutton (LV)’ dan ‘Chanel’.

Pasukan operasi sedang melakukan pemeriksaan terhadap barangan mewah yang dijual di premis berkenaan.

“Operasi berkenaan adalah hasil maklumat yang diterima daripada Global Trade Shield Consultancy Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar kedua-dua jenama berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, ketiga-tiga pemilik premis disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Antara barangan berjenama tiruan yang dirampas dalam operasi berkenaan.

“Kes akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.
 
Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDNHEP akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.
 
Katanya, para peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|