Keindahan alam, keunikan komuniti tarikan utama pelancongan Sabah

Keindahan alam, keunikan komuniti tarikan utama pelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Pelancong Cina Malaysia (MCTA) mengakui keindahan alam semulajadi dan keunikan kominiti negeri ini menjadi tarikan utama pelancong luar datang ke Sabah.

Presidennya, Paul Paw, berkata destinasi pelancongan tanah tinggi dan luar bandar menjadi fokus jualan produk pelancongan Sabah dalam mempromosikan negeri ini kepada pelancong luar.

Rombongan MCTA dari Semenanjung dan Sarawak merasai sendiri pelancongan berasaskan komuniti ditawarkan Sabah.

“Kami dibawa melihat banyak pemandangan baharu dan objektif kali ini adalah untuk melihat pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) bagi mengetahui apa yang dapat ditawarkan oleh komuniti luar bandar sebelum mempromosikannya kepada pelanggan.

“Untuk memahami Sabah dengan baik, kami meluangkan masa bersama orang kampung. Mereka sangat sopan dan mesra. Budaya masyarakat seperti ini harus dipromosikan dan saya pasti pengunjung ingin merasai pengalaman ini,” katanya, di sini.

Paul bersama Rombongan MCTA berada di negeri ini dalam misi melawat Sabah untuk program B2B dan suai kenal bermula pada 6 Mac.

Pesertanya mewakili MCTA dari Kuala Lumpur, Labuan, Johor, Selangor, Perak, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Rombongan itu berpeluang melawat Kundasang, Kadamaian dan Kiulu sebagai sebahagian aktiviti lawatan lima hari yang disediakan MCTA Sabah.

Paul menyamakan CoBT di Sabah seperti di Taiwan, yang mana komuniti luar bandar negara itu juga sangat mesra dan sentiasa bersedia untuk membawa pengunjung di sekitar kampung mereka.

Sementara itu, Pengerusi MCTA Sabah, Vincent Sia, berkata kebanyakan ahli persatuan berminat dengan pakej pelancongan luar bandar yang ditawarkan di negeri ini.

“Ada yang belum pernah ke sini atau hanya melakukan lawatan biasa ke pulau dan sekitar bandar. Destinasi pelancongan berasaskan komuniti luar bandar adalah sesuatu yang baharu bagi mereka.

“Apabila melawat Polumpung Melangkap Campsite di Kadamaian, mereka terharu apabila mengetahui bagaimana gempa bumi 2015 mengubah landskap dan menjadikan kampung itu tarikan baharu di tepi sungai.

“Selain itu, lawatan ke Kiulu turut memberi kenangan indah kepada ahli yang berpeluang melakukan aktiviti ‘water rafting’. Saya pasti semua ahli MCTA akan mempromosikan segmen CoBT ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, menggalakkan pengendali pelancongan untuk terus mempromosikan CoBT kepada pelancong domestik ketika sempadan antarabangsa masih ditutup.

Beliau berkata rakyat Malaysia harus mengambil peluang meneroka tarikan luar bandar negeri ini yang mendapat penghargaan antarabangsa dan semakin menarik perhatian pelancong asing.

“Sudah tentu kita tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan kembali pelawat antarabangsa dengan pembukaan sempadan bulan depan.

“Pihak STB telah mempromosikan destinasi luar bandar secara agresif dan kita menjangkakan pelancong akan melawat kawasan CoBT. Ini akan memulihkan ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|