DBKK sedia khidmat ‘Drive In’ bermula esok

DBKK sedia khidmat ‘Drive In’ bermula esok

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mewujudkan perkhidmatan ‘Drive In’ yang akan memberi kemudahan perkhidmatan kaunter tanpa memerlukan pelanggan turun dari kenderaan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, orang awam dialu-alukan untuk menggunakan perkhidmatan ‘Drive In’ DBKK itu bermula esok.

Perkhidmatan ‘Drive In’ DBKK di hadapan bangunan Ibu Pejabat DBKK.

“Perkhidmatan ini akan memberi kemudahan terutama kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung tanpa perlu turun daripada kenderaan.

“Kewujudan perkhidmatan ini juga adalah cara DBKK dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk mentransformasikan tadbir urus dalam meningkatkan ketelusan dan keberkesanan perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, perkhidmatan ‘Drive In’ DBKK beroperasi di kawasan tempat letak kereta hadapan bangunan Ibu Pejabat DBKK yang menyediakan lima lot parkir khas.

Katanya, ‘Drive In’ DBKK beroperasi dari jam 8 pagi hingga 2 petang, setiap Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.

“Bagaimanapun orang ramai yang datang berurusan dengan pihak petugas ‘Drive In’ DBKK hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Sentiasa memakai pelitup muka bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang belum tamat,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|