LPKP Sabah perjelas isu geo fencing, peraturan sudah dilaksanakan

LPKP Sabah perjelas isu geo fencing, peraturan sudah dilaksanakan

Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah hari ini tampil menjelaskan isu berhubung pelaksanaan ‘geo fencing’ atau halangan terhadap pengendali perkhidmatan e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pengerusinya, Datuk Chin Kim Hiung berkata, geo fencing sebenarnya sudah dilaksanakan di KKIA dan peraturan sudah dikenakan kepada semua pemandu perkhidmatan e-hailing yang terbabit.

Katanya, satu pertemuan telah dibuat di antara wakil E-hailing Operator (EHO) di Sabah dengan Pengarah LPKP Sabah, Norsiah Patah pada 10 Disember lalu.

“Syarikat EHO menjelaskan bahawa mereka telah mula melaksanakan geo-fencing di KKIA dan mengenakan peraturan kepada semua pemandu di bawah seliaannya.

“Pertemuan itu turut dihadiri oleh wakil Malaysia Airport Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung gesaan Persatuan Limousin dan Teksi KKIA supaya dilaksanakan geo fencing dengan segera.

Tambah Kim Hiung lagi, pihaknya turut menghantar surat pada 23 Disember lalu kepada Pengurus KKIA bagi mencadangkan satu tapak menunggu disediakan untuk kenderaan e-hailing.

“Cadangan ini bertujuan mengelak berlaku kesesakan serta mengurangkan masa menunggu di KKIA.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, ia akan menyediakan tapak menunggu bagi kenderaan e-hailing untuk menghantar dan mengambil penumpang yang telah membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.

“Pengurusan kenderaan e-hailing akan lebih teratur dan memudahkan penumpang serta tidak mengganggu aliran kenderaan,” katanya.

Sementara itu, berhubung permintaan pemandu teksi bandar atau bermeter yang ingin beroperasi di KKIA, Kim Hiung berkata, LPKP Sabah telah menerima dan mengambil maklum permohonan dari pengusaha terbabit.

“LPKP Sabah akan meneliti perkara ini secara menyeluruh bagi memastikan sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua pihak terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasan itu dapat menjawab isu yang dibangkitkan oleh oleh Persatuan Limousin dan Teksi KKIA.

“Saya ingin menekankan bahawa sebarang langkah atau keputusan yang diambil telah dibuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan kuasa yang diberikan kepada saya dan anggota LPKP Sabah,” katanya.

Laporan Deasoka.com Selasa lalu melaporkan kira-kira 180 pemandu perkhidmatan teksi KKIA merayu supaya LPKP dan pihak berwajib segera menguatkuasakan geo fencing.

Rayuan itu timbul selepas didapati perkhidmatan e-hailing turut beroperasi di KKIA dan sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha teksi KKIA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|