Kota Belud: Seorang pemandu lori membawa 10 tan pasir cemas apabila kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Tenghilan, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari kenderaan mula terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari.
Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan pasir.
“Operasi pemadaman terus dijalankan menggunakan dua aliran dari sumber air dari tangki jentera,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kenderaan berkenaan musnah sepenuhnya namun tiada mangsa atau kecederaan yang dilaporkan.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya mengawal api kebakaran pada jam 1.30 petang.
“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.36 petang.
-Deasoka