Lima terperangkap dalam lif diselamatkan

Lima terperangkap dalam lif diselamatkan

Kota Kinabalu: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan lima individu yang terperangkap dalam sebuah lif di sebuah pusat perniagaan di Jalan Kepayan, di sini, hari ini

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, semua mangsa berkenaan dilaporkan terperangkap selepas lif berkenaan dipercayai mengalami kerosakan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya dilokasi kejadian, pasukan operasi mendapati lima orang awam masih terperangkap di dalam lif berkenaan.

“Pasukan Bomba dan pekerja penyelenggara bangunan terus melakukan operasi dan berjaya membuka lif berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketua operasi memaklumkan semua mangsa dapat dikeluarkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Pasukan Bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 11.31 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|