Juragan cuba seludup keluar barang kawalan ditahan

Juragan cuba seludup keluar barang kawalan ditahan

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba menyeludup keluar beberapa barang kawalan tanpa permit di kawasan laut Pulau Pemaguan, petang semalam.

Bot jongkong dikendalikan suspek warga asing itu ditahan sepasukan PPM Sandakan selepas bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, pihaknya menahan sebuah jongkong membawa barang kawalan seperti Diesel, Petrol, minyak masak, dan tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, mendapati juragan gagal untuk menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa bagi membawa barang-barang berkenaan keluar.

“Nilai rampasan termasuk jongkong yang digunakan berjumlah RM28,177.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Rusdin berkata, pihaknya mengalu-alukan masyarakat terutama masyarakat maritim dan pesisir pantai menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah, melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|