PRN Johor: WARISAN nafi hanya dapat sokongan masyarakat Cina

PRN Johor: WARISAN nafi hanya dapat sokongan masyarakat Cina

Kulai (Johor): Parti Warisan (WARISAN) menafikan parti itu hanya mendapat sokongan daripada masyarakat Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebaliknya berkata, mereka turut mendapat sokongan daripada masyarakat kaum lain termasuk Melayu dan India di negeri itu.

“Tidak benar kalau di Johor kita dapat sokongan daripada masyarakat Cina saja. Kita juga mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu, contohnya di Pekan Nanas sebahagian besar daripada penggerak kita di situ ialah orang Melayu.

“Di Bekok, calon kita orang India dan penggerak kita di situ orang India. Kita adalah parti yang berbilang bangsa dan secara kebetulan yang menonjol di sini, yang ketara ke hadapan sebahagian besar adalah anak-anak Cina khususnya yang terlibat.

“Ia sekali gus menunjukkan gambaran bahawa hanya menerima sokongan daripada masyarakat Cina, ini tidak benar,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan kempen PRN Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu turut berterima kasih kepada pengundi kaum Cina di kawasan itu kerana sangat terperinci dalam meneliti calon yang diketengahkan parti.

“Kita sebenarnya berterima kasih kerana mereka juga sebagai pengundi kaum Cina, mereka sangat praktikal, sangat details, mereka nak menganalisis mana satu parti, mana satu wakil rakyat yang mereka pilih.

“Bukan hanya berdasarkan kaum dia, bukan hanya berdasarkan agama dia, kerana kita melihat bahawa antara yang menarik perhatian masyarakat bukan hanya di Johor malah di seluruh negara bahawa WARISAN sebuah parti multirasional,” katanya.

WARISAN yang pertama kali menyertai pilihan raya di Semenanjung menerusi PRN Johor mengemukakan Lee Ming Wen sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

Mohd Shafie berkata, calon yang diketengahkan itu mempunyai pengalaman dan kebolehan dalam mengurus tadbir PRN kali ini.

“Kita mahu calon ini menjadi suara di Bukit Batu dan kita nak pastikan dia sebagai wakil rakyat yang betul-betul mewakili rakyat bukan hanya berkhidmat kepada rakyat tetapi juga bagi melontarkan kritikan berhubung sistem pentadbiran di negeri Johor,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|