Lima rumah musnah terbakar

Lima rumah musnah terbakar

Semporna: Lima rumah musnah selepas dijilat api dalam kejadian di Kampung Perigi, Jalan Pinggir Bakau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, api dilaporkan cepat merebak berikutan struktur rumah kayu selain kedudukan sangat hampir antara satu sama yang lain.

Rumah penduduk musnah terbakar dalam kejadian membabitkan lima rumah di Kampung Perigi, Jalan Pinggir Bakau, Semporna.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak ke beberapa rumah sekitar lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 pagi.

Pasukan bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Perigi, Jalan Pinggir Bakau, Semporna.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kelima-lima rumah berkenaan didapati sudah dimamah api dan usaha mengawal api kebakaran segera dijalankan.

Lima rumah musnah terbakar di Kampung Perigi, Jalan Pinggir Bakau, Semporna.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 243 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 9.46 pagi dan sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.41 pagi.

Katanya, tiada sebarang kecederaan serta kematian dilaporkan dan pihak forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta jumlah kerugian dalam insiden ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|