Aksi persahabatan sengit STB, MMT

Aksi persahabatan sengit STB, MMT

Kota Kinabalu: Pasukan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) pada Sabtu telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Media Mix Team (MMT), di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Likas, di sini.

Perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan itu berakhir dengan keputusan seri 5-5.

Pasukan STB dan MMT merakam gambar kenangan bersama sebelum memulakan perlawanan.

Ketua Pegawai Kewangan STB Julinus J Jimit yang turut beraksi pada perlawanan itu berkata, tujuan program berkenaan diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan kerjasama antara STB dengan pihak media.

“Selain itu, program ini sebahagian aktiviti Majlis Bersama Jabatan (MBJ) STB dan salah satu usaha untuk mempromosikan amalan gaya hidup sihat dengan bermain bola sepak atau bersenam.

Julinus menyerahkan bola kepada Willie sebagai gimik sebelum aksi persahabatan itu bermula.

“Kami juga berterima kasih kepada pihak MMT yang sudi menerima jemputan perlawanan persahabatan ini, dan semoga kerjasama baik antara kedua-dua pihak akan terus kekal,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Presiden MMT, Willie Jude berkata, aksi persahabatan itu menjadi pentas untuk ahli-ahli MMT berkumpul dan bermain bola sepak bersama semula selepas sekian lama berhenti dari sebarang aktiviti akibat pandemik Covid-19.

Antara aksi-aksi menarik perlawanan persahabatan itu.

“Kami juga berterima kasih dengan pihak STB yang sudi menjemput kami untuk perlawanan persahabatan ini.

“Saya harap juga selepas ini, MMT yang turut disertai bekas pemain, artis tempatan dan rakan media lain akan kembali aktif untuk mengadakan program khususnya perlawanan bola sepak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|