Keningau: Lima rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kepayan Baru, Apin-Apin, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, kebakaran membabitkan semua rumah jenis separuh kekal berkeluasan keseluruhan 557 meter persegi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang.
Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama tiga jentera dan EMRS dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, operasi pemadaman menggunakan dua aliran empat pancutan air dari jentera dan pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada jam 6.17 petang dan sebanyak lima rumah musnah terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
“Operasi ditamatkan pada jam 8.46 malam tadi,” katanya.
-Deasoka