Kegembiraan 6 sekawan mandi sungai bertukar tragedi

Kegembiraan 6 sekawan mandi sungai bertukar tragedi

Penampang: Aktiviti hujung minggu enam sekawan mandi sungai bertukar tragedi apabila dua dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, dua mangsa yang dilaporkan belum ditemui dikenali sebagai Harold Walter dan Tomansi Olaf yang masing-masing berusia 17 tahun.

Ketua BBP Penampang, Zeno Tinggalan.

Manakala empat lagi mangsa yang terselamat turut dikatakan berdepan detik cemas apabila terperangkap di sungai seberang berkenaan.

Difahamkan, sebelum tragedi berlaku, keenam-enam mangsa cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Anggota bomba bersiap sedia menyelamatkan mangsa yang terperangkap di sungai Kampung Pogunon, Penampang.

Bagaimanapun, ketika empat remaja terselamat sudah menyeberangi sungai berkenaan, kepala air tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak.

Dua lagi mangsa yang masih berada di tengah sungai dilaporkan terus hanyut dan cuba diselamatkan oleh seorang daripada rakan mereka.

Bagaimanapun, sebaik gagal mengesan kedua-dua rakannya, remaja terbabit dikatakan terus menyeberangi sungai dan meminta pertolongan penduduk kampung termasuk menghubungi pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Menurut pemanggil dua remaja lelaki dipercayai lemas manakala empat orang masih lagi terperangkap di sungai berkenaan.

“Pasukan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dan semua remaja berusia 17 tahun terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan,” ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, setakat ini, operasi penyelamatan dan pencarian dua lagi mangsa hilang masih dijalankan dengan kaedah ‘surface rescue’.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi pencarian turut dibantu polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|