Lima opsyen jika rundingan dengan GRS tidak berjalan lancar

Lima opsyen jika rundingan dengan GRS tidak berjalan lancar

Penampang: Lima pilihan bakal diambil Barisan Nasional (BN) Sabah jika perbincangan mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tidak berjalan lancar.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagaimanapun tidak menyatakan pilihan berkenaan, sebaliknya menjelaskan perkara itu masih difikirkan.

“Kita ada lima opsyen (pilihan) jika dan sekarang kita sedang fikir,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas majlis penutupan Konvenseyen BN Sabah, di sini, petang ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata tumpuan kini adalah memastikan kedudukan BN negeri diperkukuhkan terlebih dahulu bagi memudahkan rundingan.

“Kita belum lagi selesai berunding. Kita mahu turun ke bawah dulu dan susun kekuatan sebelum berunding. Kalau kita kuat baru dapat berunding, kalau lemah nanti orang akan buli kita,” katanya.

Mengenai sejauh mana pencapaian rundingan dengan GRS setakat ini, Bung Moktar berkata, ia masih berjalan tetapi belum ada sebarang hasil.

Katanya, perbincangan merangkumi pelbagai perkara membabitkan kepentingan BN Sabah.

Walaupun tidak menyebutnya, ia dipercayai termasuk berkaitan agihan kerusi dan usaha untuk mengelak pertembungan pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|