Penampang: Barisan Nasional (BN) Sabah bakal menjadi entiti politik sendiri yang menggabungkan beberapa parti politik di negeri ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.
Katanya, menerusi kelutusan itu BN Negeri Sabah dikenali sebagai BN Sabah dengan beberapa perkara dalam Perlembagaan BN memperuntukkan klausa yang berkaitan dengan BN Sabah.
“Ia adalah untuk meletakkan BN Sabah sebagai suatu entiti yang akan menggabungkan beberapa parti politik di Sabah yang mahu terus bersama-sama dengan BN Sabah selain daripada parti teras iaitu UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi membentuk BN Sabah.
“Perkara ini akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN Malaysia untuk kita lakukan keabsahan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen BN Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC), di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid lagi, ia adalah kesinambungan daripada pindaan Perlembagaan UMNO yang memberikan autonomi kepada UMNO Sabah.
“Tujuan kita melakukan demikian adalah berikutan daripada pindaan perlembagaan UMNO sendiri yang telah memberikan autonomi kepada UMNO Sabah untuk memberikan kesinambungan terhadap kuasa autonomi BN Sabah yang diwujudkan biarpun BN Sabah tidak setaraf dengan autonomi yang diberikan kepada BN Sabah,” jelasnya.
Ahmad Zahid berharap barisan kepimpinan BN Sabah dapat menyusun pelbagai langkah bersesuaian dengan lanskap politik di negeri ini.
“Kita faham landskap politik dan situasi politik di Sabah yang sangat dinamik. Maka sebarang perubahan-perubahan yang sedang dan akan berlaku dalam landskap politik ini akan disesuaikan oleh kepimpinan BN Sabah.
“Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi BN dan saya sendiri akan terus memantau terhadap perkembangan terbaharu dalam kedinamikan politik Sabah.
“Kami telahpun menyusun selepas konvensyen ini untuk pemimpin-pemimpin Pusat bersama dengan pemimpin BN Sabah turut ke enam zon di Sabah ini bagi memantapkan jentera pilihan raya Sabah dari semua parti-parti teras dan saya yakin tentunya selain PBRS kita ada MCA dan MIC Sabah,” katanya.
-Deasoka