Lima ditahan termasuk tekong warga Indonesia

Lima ditahan termasuk tekong warga Indonesia

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot jongkong dinaiki lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sungai Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, bot yang dinaiki seorang tekong dan empat kru itu berjaya dikesan ketika cuba memasuki negara melalui jalan laut.

Bot jongkong yang dinaiki PATI ditahan untuk siasatan lanjut. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, semua lima lelaki berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun itu berasal dari Indonesia.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan mendapati tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pendaftaran bot yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, semua PATI dan bot jongkong seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Katanya, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Semua barangan termasuk bot jongkong, enjin bot, barangan persendirian disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM20,000.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 turut dijalankan terhadap semua tahanan bagi mengambil langkah selamat agar tidak berlakunya penularan wabak berkenaan daripada dari negara jiran,” katanya.

Sehubungan itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau ditalian 089-752116 dan talian kecemasan 999,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|