Lima bot laju dari Filipina diusir keluar

Sandakan: Operasi berterusan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan daerah ini berjaya mematahkan lima cubaan menceroboh masuk dalam operasi yang dijalankan lewat petang, kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, operasi berkenaan yang diadakan dari semasa ke semasa itu adalah sebagai salah satu usaha mencegah kemasukan dari negara luar.


Lima bot laju yang dikesan cuba menceroboh perairan negara diusir keluar

Katanya, sebaik berjaya mengesan lima bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus mengejar sebelum memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua juragan bot berkenaan mendakwa berasal daripada Filipina.

“Semua bot berkenan kemudiannya diarahkan supaya berpatah balik dengan diiring sehingga keluar dari perairan negara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rusdin berkata, usaha yang dilakukan itu juga adalah bagi mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19.

Katanya, semua bot berkenaan diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam menerusi aplikasi WhatsApp, Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|