Lewat terima notis punca penduduk Sipitang habis bekalan air

Lewat terima notis punca penduduk Sipitang habis bekalan air

Sipitang: Lewat menerima notis gangguan bekalan air dipercayai punca penduduk di daerah ini kehabisan bekalan air bersih sehingga menyebabkan air minuman yang dijual di kedai turut kehabisan stok.

Selain itu, peningkatan pembelian air minuman juga dipercayai disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang mana ramai penduduk memborongnya di pasar raya sekali gus menyebabkan bekalan air minuman habis di pasaran.

Bagaimanapun, keadaan itu dilihat mulai pulih hari ini apabila bekalan air minuman yang dijual sudah ditambah di kedai-kedai di daerah ini.

Md Naquib Noor Ahmad

Penduduk Kampung Guruh-Guruh, Md Naquib Noor Ahmad, 39, mengakui sedikit terjejas dengan masalah air di daerah ini.

“Sejak kebelakangan ini memang ada masalah gangguan bekalan air, ramai juga yang bising tiada air sejak empat hari lalu dan bekalan air dicatu ketika ini.

“Ramai penduduk yang bising sebab notis berhubung gangguan bekalan air lambat diterima dan menyebabkan rata-rata penduduk tidak sempat menyimpan stok air bersih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, disebabkan hal itu menyebabkan penduduk mengambil inisiatif membeli air minuman di kedai atau pasar raya sejak beberapa hari lalu.

“Tapi stok air minuman yang dijual di pasaran terhad mungkin juga disebabkan baru-baru ini perayaan Tahun Baharu Cina menyebabkan ada peningkatan pembelian air minuman di pasaran,” katanya.

Md Naquib berkata, setakat ini bekalan air semakin pulih namun agak keruh dan belum sesuai untuk digunakan untuk memasak.

“Hari ini, air sudah ada cuma keruh dan hanya sekadar boleh digunakan untuk mandi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sipitang memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Bangkap sudah mulai beroperasi mulai jam 6 petang semalam.

“Bagaimanapun, buat masa ini pihak JANS memerlukan masa untuk menyalurkan kepada penduduk di beberapa kawasan tertentu,” katanya.

Terdahulu, antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Guruh-Guruh, Kampung Buang Sayang, Kampung Menengah dan beberapa kampung di sekitar daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|