Covid-19 Sabah: Empat lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Covid-19 Sabah: Empat lagi kluster institusi pendidikan diisytihar di Sabah

Kota Kinabalu: Empat lagi kluster baharu Covid-19 diisytiharkan di Kota Marudu, Ranau dan Sandakan, hari ini, kesemuanya berkaitan jangkitan membabitkan institusi pendidikan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster terbabit ialah Kluster Jalan Tandek dan Kluster Jalan Taman Beringin di Kota Marudu, Kluster Jalan Pendidikan di Ranau dan Kluster Sungai Batang Batu 10 di Sandakan.

Katanya, Kluster Jalan Tandek membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 1, Kota Marudu yang tercetus apabila seorang pelajar berumur 15 tahun disahkan positif pada 17 Januari selepas bergejala sejak dua hari sebelum itu.

“Saringan terhadap rakan seasrama dan sekelas mendapati seramai 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 35 orang. Semua mereka berada dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Katanya kluster kedua di Kota Marudu hari ini, iaitu Kluster Jalan Taman Beringin pula membabitkan pelajar SMK Bandau.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu ialah seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun yang menjalani saringan Covid-19 pada 19 Januari lalu sebelum menjalankan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), di sini.

“Saringan PCR mengesahkan pelajar itu positif Covid-19. Seterusnya saringan ke atas kontak rapat mendapati 24 orang lagi didapati positif.

“Mereka terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian dan kakitangan sekolah. Semua mereka berada dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, katanya Kluster Sungai Batang Batu 10, Sandakan membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens.

Masidi berkata, kes indeks bagi kluster itu, iaitu seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dikesan positif Covid-19 melalui saringan bergejala pada 25 Januari lalu.

“Saringan terhadap kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian, guru dan kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif seramai 50 orang,” katanya.

Kluster keempat katanya, iaitu Kluster Jalan Pendidikan Ranau pula membabitkan SMK Mat Salleh, Ranau dengan kes indeks ialah seorang pelajar lelaki Tingkatan 6.

Beliau berkata, pelajar terbabit mula bergejala pada 29 Januari lalu dan didapati positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan kendiri.

“Sekolah dimaklumkan pada hari yang sama dan pelajar itu terus dikuarantin. Saringan pada 31 Januari mengesahkan pelajar itu positif.

“Saringan terhadap rakan sebilik, seasrama dan rakan sekelas mendapati 24 orang lagi positif dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif sehingga hari ini seramai 25 orang,” katanya.

Empat kluster baharu berkaitan institusi pendidikan itu menjadikan jumlah kluster dalam kategori berkenaan di Sabah meningkat kepada 17 kluster setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|