Harga tinggi, pengaruhi peningkatan kes curi sawit

Harga tinggi, pengaruhi peningkatan kes curi sawit

Kinabatangan: Peningkatan harga sawit dipercayai menjadi punca jenayah curi buah komoditi itu meningkat dan berleluasa di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, mengikut rekod tahun 2020, hanya tujuh kes dilaporkan berlaku dan ia meningkat kepada kepada 17 kes pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes pada tahun lalu dan empat kes pada tahun 2020.

“Untuk tempoh dua tahun ini, kita merekodkan peningkatan sebanyak 14 kes dan ia membabitkan kes jenayah harta benda curi kelapa sawit.

“Ia dipercayai disebabkan harga kelapa sawit yang mendadak naik menyebabkan kejadian curi kelapa sawit berleluasa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dzulbaharin berkata, harga buah kelapa sawit yang tinggi turut memberi kesan kepada kes penagihan dadah di daerah berkenaan.

Katanya, mengikut rekod, tahun 2020 mencatatkan sebanyak 245 kea manakala pada tahun lalu sebanyak 214 kes.

“Kes penagihan dadah di daerah ini masih berada di tahap sederhana dan tidak menggusarkan.

“Namun, perkara berkenaan tetap perlu diperhatikan kerana ia membabitkan golongan belia berusia 18 hingga 35 tahun.

“Kita percaya golongan itu turut mampu membeli bekalan dadah selepas harga kelapa sawit meningkat kerana kebanyakan mereka adalah golongan pekebun atau yang bekerja di sektor berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Duzlbaharin berkata, semua belia, masyarakat atau pihak politik kena sama-sama membantu.

“Saya berharap, pihak sekolah, ibu bapa, agensi lain serta pemimpin dapat sama-sama memainkan peranan dalam menangani isu terbabit,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|