Lelaki tertusuk anak panah

Lelaki tertusuk anak panah

Kota Belud: Seorang lelaki cedera selepas kaki kanannya tertusuk anak panah ketika melakukan aktiviti menangkap ikan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang cedera terus dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan bantuan segera.

Anak panah tertusuk pada kaki kanan lelaki terbabit ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.

Bagaimanapun, pihak hospital terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba selepas difahamkan sukar untuk mengeluarkan anak panah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 petang.

Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke Hospital Kota Belud.

“Mangsa seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan kaki akibat tertusuk besi panah semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.

“Pasukan bomba terpaksa mengambil tindakan memotong dan mengeluarkan besi dari kaki mangsa dengan menggunakan peralatan khas (Hydraulic Power Unit),”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya meneruskan rawatan di hospital berkenaan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan selamat.

“Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan pada jam 5.02 petang” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|