600 warga asing dijangka disaring setiap hari di Terminal Feri Tawau

600 warga asing dijangka disaring setiap hari di Terminal Feri Tawau

Tawau: Pejabat Kesihatan Kawasan (PPK) Tawau menjangkakan kira-kira 600 rakyat asing disaring setiap hari di Terminal Feri Tawau, di sini apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April depan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran, berkata kebanyakan mereka adalah warga Indonesia dari Tarakan dan Nunukan.

Beliau berkata, saringan Covid-19 adalah antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilalui setiap pelawat termasuk rakyat tempatan dari luar apabila tiba di pintu masuk negara.

“Semua SOP sudah digariskan untuk dipatuhi oleh rakyat asing yang mahu masuk ke daerah ini termasuk perlu lengkap vaksinasi dan menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu,” katanya, di sini.

Jelasnya, jika dikesan negatif barulah dibenarkan masuk, namun jika positif mereka perlu menjalani kuarantin di hotel yang ditetapkan dengan pembiayaan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pengusaha bot supaya semua penumpang mereka mematuhi SOP yang digariskan sebelum masuk ke Tawau.

Mengenai persiapan pembukaan sempadan mulai 1 April depan, beliau berkata pihaknya sudah bersedia dan tidak menghadapi masalah menangani kemasukan pelawat kerana sudah berpengalaman mengendalikan keluar masuk rakyat asing sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah membuat persediaan di semua pintu masuk antarabangsa di daerah ini iaitu di Pelabuhan Internasional, Lapangan Terbang Tawau (LTT) serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau.

Dalam hal berkaitan, Navindran meminta penduduk di daerah ini supaya segera mengambil dos penggalak sebelum pembukaan sempadan negara.

Setakat ini, katanya sambutan dos penggalak masih kurang memberangsangkan, walaupun pelbagai usaha dibuat termasuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap hari.

“PKK Tawau membuka PPV di Dewan Gelanggang Bola Keranjang Kampung Jawa dan Klinik Kesihatan Kubota setiap hari. Orang ramai boleh terus datang mendapatkan suntikan tanpa temujanji,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|