Kota Kinabalu: Berpantang maut sebelum ajal. Seorang penunggang motosikal bernasib baik apabila terselamat selepas terbabas sehingga masuk ke parit dalam kejadian di Jalan Tanjung Lipat, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun yang menunggang motosikal seorang diri itu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.49 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus membantu mengangkat mangsa keluar dari parit di lokasi kejadian.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi bagi mengenalpasti kecederaan yang dialaminya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi menerima rawatan susulan.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari.
-Deasoka