Insentif untuk atlet Sabah jika rangkul pingat di Hanoi

Tawau: Atlet Sabah yang mewakili negara ke Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam bermula 12 hingga 23 Mei ini ditawarkan insentif khas jika berjaya mengutip pingat pada temasya sukan Asia Tenggara itu.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Andi Muhammad Suryady Bandy, berkata seramai 37 atlet Sabah yang terpilih mewakili negara ke temasya sukan berkenaan berpeluang menerima insentif yang ditawarkan.

Andi Muhammad Suryady bersama tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tawau.

Beliau berkata, kerajaan negeri memberikan insentif untuk semua jenis pingat yang dikutip selaras dengan keputusan kerajaan Pusat berhubung pemberian insentif kepada atlet negara yang berjaya merangkul pingat.

“Insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada semua atlet negeri yang berjaya mengharumkan nama negara pada temasya sukan berprestij itu dan kita mengucapkan tahniah kepada semua atlet Sabah yang terpilih mewakili negara ke Hanoi,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yangdi kediamannya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua atlet Sabah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan mampu membawa pulang pingat.

Sementara itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan negeri juga banyak menjalankan program yang melibatkan belia selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita sudah mengadakan program ‘Felo SMJ’ iaitu beberapa belia terpilih akan ditempatkan di setiap kementerian untuk mempelajari cara pentadbiran kerajaan negeri.

“Kementerian akan memilih seramai 73 orang belia daripada setiap DUN di negeri ini untuk menjayakan program itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Pasa masa sama, katanya pihaknya turut menggalakkan semua belia di negeri ini mendaftar dalam program ‘Youth Management System’ bagi mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti kementerian.

Jelasnya, semua aktiviti dan jenis bantuan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan dikongsikan melalui sistem berkenaan agar belia mendapat maklumat yang lebih cepat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|