Dugaan uji kelajuan, satu maut, tiga cedera

Tawau: Akibat melepaskan gian menguji kelajuan, seorang remaja maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian di kilometer 23, Jalan Merotai, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, kemalangan membabitkan empat remaja lelaki berusia 15 hingga 20 tahun.

Motosikal yang ditunggangi empat remaja dipercayai untuk aktiviti menduga kelajuan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima makluman kejadian, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kemalangan.

Katanya, siasatan awal mendapati, kes kemalangan maut membabitkan empat motosikal yang ditunggangi empat remaja dipercayai untuk aktiviti menduga kelajuan.

“Siasatan awal dilokasi kejadian mendapati empat remaja terlibat terdiri dari dua warga asing dan dua rakyat tempatan.

“Dalam kejadian ini, mangsa remaja berusia 15 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi mangsa lain turut mengalami kecederaan dan diberikan hantar mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Katanya, mangsa yang maut didapati positif Covid-19 hasil ujian saringan yang dijalankan keatas mayatnya.

“Siasatan lanjut polis turut mendapati tiga daripada remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu termasuk mangsa yang maut.

“Ketiga tiga remaja terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|