Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang berperwatakan seperti wanita dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini daripada tuduhan menyamun seorang anggota polis dua tahun lalu.
Tertuduh, Nidsmar Jalal, 23, didakwa menyamun seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di sebuah premis di tingkat tiga sebuah bangunan di Bandaran Berjaya, di sini, pada kira-kira jam 2.30 petang, 17 Jun 2020.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Ummu Kalthom Abd Samad melepas dan membebaskan Nidsmar tanpa memanggilnya untuk membela diri setelah mendapati tiada kes prima facie terhadap tertuduh.
Nidsmar yang bekerja sebagai tukang urut dituduh menyamun RM300 daripada anggota polis terbabit.
Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 28 Januari 2021 dengan seramai tujuh saksi dipanggil pihak pendakwaan sebelum menutup kes pada 31 Mac tahun ini.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Adibah Saiful Bahri, manakala Nidsmar diwakili peguam Datuk Seri Rakhbir Singh.
Sementara itu, dalam hujahannya, Rakhbir berkata anggota polis terbabit yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak pasti sama ada laporan polis yang dibuatnya terhadap Nidsmar adalah salah.
Rakhbir mengemukakan hujah bahawa tiada kejadian samun berlaku terhadap anggota polis terbabit seperti yang dilaporkannya, sebaliknya ia hanya rekaan anggota polis berkenaan.
Beliau berhujah anggota polis terbabit sebenarnya datang mencari Nidsmar di biliknya di tingkat tiga Bandaran Berjaya selepas mereka berbual mengenai seks melalui aplikasi WeChat.
Rakhbir mengemukakan hujah bahawa anggota polis terbabit cuba menunjukkan dirinya tidak bersalah dan menjadikan Nidsmar sebagai mangsa dengan mengatakan tertuduh menyamunnya.
Selepas tamat prosiding, Nidsmar yang gembira dengan keputusan mahkamah, mengucapkan terima kasih kepada peguamnya atas usaha sepanjang kes itu.
-Deasoka