Sandakan: Tiga kilang membuat roti diarahkan tutup selepas pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menemui najis tikus dalam operasi yang berakhir, hari ini.
Pegawai JKNS Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, operasi berkenaan dijalankan selama dua hari bermula Isnin lalu.

Katanya, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak enam notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan tiga buah kilang roti lagi ditutup selama 14 hari.
“Dalam operasi hari pertama, sebuah kilang ditutup selepas didapati kotor manakala dua lagi dikenakan kompaun.
“Operasi hari kedua pula, dua lagi kilang ditutup selepas didapati terdapat tanda-tanda tahi tikus di dalam kawasan kilang dan ini satu benda yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai operasi pemeriksaan kilang, di sini, hari ini.
Menurutnya, kilang-kilang berkenaan bukan saja didapati kotor malah terdapat juga kilang roti menggunakan berus cat untuk menyapu minyak di atas tepung.
Selain itu katanya, terdapat juga pengilang roti yang menggunakan dayung kayu yang sudah rosak dan kotor untuk menggaulkan bahan roti.
“Pendayung yang digunakan untuk masak kacang juga rosak dan banyak serpihan-serpihan kayu dikhuatiri tercabut dan masuk ke dalam kacang hitam, keadaan itu amat berbahaya.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati hanya dua daripada 14 kilang roti di daerah ini yang menyertai Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) dan memiliki Skim Pensijilan MESTI.
“Hal berkenaan menyebabkan kebanyakan pengilang roti tidak tahu prosedur keselamatan yang betul,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Johari berkata, pihaknya menyeru kilang-kilang roti di sandakan segera menyertai PJKM dan mendapatkan pensijilan MESTI dalam memastikan roti yang dijual kepada masyarakat bersih dan terjamin.
-Deasoka