Kanak-kanak perempuan korban baharu kes denggi di Sandakan

Kanak-kanak perempuan korban baharu kes denggi di Sandakan

Sandakan: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi korban terbaharu kes demam denggi di daerah ini.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan meninggal dunia pada akhir Ogos lalu, menjadikan tiga kematian akibat denggi setakat ini membabitkan kanak-kanak di Sandakan sejak Januari lalu.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, penularan kes denggi yang tinggi sejak awal tahun ini menyebabkan jumlah dijangkiti meningkat dengan ketara termasuk menyebabkan kematian.

“Antara punca peningkatan kes disebabkan keadaan iklim semasa. Pada masa yang sama masyarakat di daerah ini juga kurang memberikan kerjasama apabila petugas kesihatan ingin menjalankan pemeriksaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak Januari hingga 10 September lalu, sebanyak 863 kes demam denggi dilaporkan di daerah ini berbanding hanya 71 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan yang sangat tinggi hingga mencapai 1,115 peratus termasuk tiga kematian direkodkan yang direkodkan setakat ini.

Beliau berkata, ketika ini juga terdapat 63 lokaliti wabak denggi aktif dengan lima daripadanya diletakkan sebagai lokaliti wabak titik panas, manakala empat lagi lokaliti wabak tak terkawal.

“Kita mencatat 863 kes denggi setakat ini berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas iaitu 71 kes, kenaikan 1,115 peratus.

“Kita juga dapati sebanyak 121 wabak berlaku di Sandakan bermula Januari sehingga sekarang berbanding hanya enam wabak sahaja pada tahun lalu, menunjukkan kenaikan sebanyak 1,916 peratus,” katanya.

Dr Johari berkata, pihaknya giat meneruskan operasi pencegahan dan pengawalan seperti menjalankan semburan pembunuh nyamuk, mengedar risalah, melakukan hebahan di radio dan mengadakan gotong-royong.

Beliau juga berharap masyarakat meningkatkan kesedaran untuk membersihkan kawasan tempat tinggal dalam usaha mengurangkan wabak denggi di kawasan masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|