Lelaki maut, kereta rempuh tiang lampu, lori

Lelaki maut, kereta rempuh tiang lampu, lori

Lahad Datu: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh tiang lampu dan pembahagi jalan sebelum bertembung dengan sebuah lori di kilometer 2, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas tersepit dan mengalami kecederaan serius.

Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian selepas tersepit dan mengalami kecederaan serius. Pix Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal, mangsa yang memandu Proton Wira bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Tawau.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sehingga menyebabkannya merempuh tiang lampu dan pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa terus terbabas ke jalan bersebelahan dan bertembung dengan sebuah lori dinaiki tiga lelaki berusia 28 hingga 38 tahun.

“Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lahad Datu yang hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan Shah berkata, sebaik berjaya dikeluarkan, mayat mangsa terus dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, tiga lagi mangsa yang menaiki lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden ini.

“Kedua-dua pemandu dalam insiden ini tidak beraa di bawah pengaruh alkohol atau dadah namun sampel darah sudah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mana-mana individu yang melihat kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Humaidi Harin ditalian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|