Lelaki maut, anak cedera motosikal langgar besi penghadang jalan

Lelaki maut, anak cedera motosikal langgar besi penghadang jalan

Kota Marudu: Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera selepas motosikal jenis Ranger 110 dinaiki terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Jalan Kampung Popok Laut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa berusia 42 tahun mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terbabit kemalangan di Jalan Kampung Popok Laut, Kota Marudu.

Manakala anak lelakinya berusia lapan tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dari arah Kampung Popok Laut menghala pulang ke Kampung Mangkupa, di sini.

“Ketika melalui satu selekoh, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan di tepi kiri jalan menghala ke Kampung Mangkupa.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng iaitu anak mangsa cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca baik, cerah dan siasatan masih diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu turut berada di lokasi kemalangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|