Kereta terbakar, pemandu selamat

Kereta terbakar, pemandu selamat

Kota Kinabalu: Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Tuaran Bypass berhampiran University Apartment, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza, sebaik menyedari sebahagian dari kenderaannya sudah mula terbakar.

Anggota bomba menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.12 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari BBP Lintas dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.36 petang sebelum berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan jam 4.44 petang

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|