Kes Ebit Lew: Saksi kemurungan akibat kerap lihat mesej gangguan seksual

Kes Ebit Lew: Saksi kemurungan akibat kerap lihat mesej gangguan seksual

Tenom: Saksi kes gangguan seksual membabitkan penceramah Ebit Lew mengaku mengalami kemurungan kerana kerap melihat mesej berbaur gangguan seksual selain gambar kemaluan lelaki.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, bahawa perkara itu berlaku terhadap dirinya sejak beliau menerima kes berkaitan Ebit Lew itu.

Ketika prosiding hari ini, Firdaus atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, memberitahu mahkamah kemurungannya dinyatakan melalui hantaran dibuatnya dalam kumpulan Whatsapp dinamakan ‘NOBODY’ berdasarkan perkataan ‘keburungan’ yang tersalah eja dan sepatutnya ditulis ‘kemurungan’.

Firdaus yang juga Pengasas dan Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, ‘keburungan’ dalam ayat hantarannya di Whatsapp berkenaan yang berbunyi “Amaran!!! Keburungan-Keburungan” adalah merujuk kepada perkataan ‘kemurungan’.

“Perkataan keburungan-keburungan adalah kesalahan ejaan daripada saya sendiri yang sepatutnya bermaksud kemurungan-kemurungan.

“Hal ini kerana semenjak menerima kes itu dan melihat begitu banyak mesej serta gambar kemaluan lelaki, saya sendiri yang merupakan lelaki tertekan dan sukar untuk tidur malam kerana imej-imej itu sering berlegar di minda,” katanya ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, Ram Singh.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada sesi soal jawab sebelah pagi mengenai kumpulan Whatsapp ‘NOBODY’, Firdaus memberitahu mahkamah platform itu diwujudkannya dengan dianggotai tiga individu lain iaitu Mohd Fairuz Abu atau Fairuz Al-Jengkawi (panggilan merujuk Mohd Fairuz), Dr Rozaimi Ramly dan Dr Yusuf.

Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew bersambung hari ini hingga lusa selepas ditangguhkan pada September lalu.

Ebit berdepan 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|