Wajib berpersatuan syarat mohon lesen pengangkutan awam – LPKP Sabah

Wajib berpersatuan syarat mohon lesen pengangkutan awam – LPKP Sabah

Kota Kinabalu: Pemegang lesen kenderaan pengangkutan awam di Sabah dan Labuan diwajibkan menjadi ahli persatuan sebagai syarat permohonan lesen berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung, berkata langkah itu untuk memastikan penyaluran maklumat kepada pemegang lesen kenderaan pengangkutan awam lebih teratur dan berkesan.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung

“Penyaluran maklumat ini penting kerana LPKP Sabah dari semasa ke semasa akan mengeluarkan pekeliling atau notis sama ada peraturan baharu atau lain-lain maklumat penting yang melibatkan pengangkutan awam di Sabah dan Labuan.

“Berdasarkan kepada tinjauan dan aduan yang diterima LPKP Sabah, terdapat pemegang lesen tidak menerima maklumat yang dikeluarkan LPKP Sabah atas beberapa faktor. Antaranya pemegang lesen tidak mengemas kini maklumat perhubungan sehingga menyukarkan LPKP Sabah menghubungi mereka.

“Sehubungan itu, dengan pelaksanaan peraturan baharu ini, penyaluran maklumat akan lebih teratur dan berkesan yang mana LPKP Sabah akan menyalurkan semua maklumat terkini melalui persatuan untuk disampaikan kepada ahli-ahli mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dari segi pelaksanaan, setiap pemegang lesen diwajibkan mengemukakan dokumen pengesahan sebagai ahli persatuan seperti kad ahli untuk disertakan di dalam borang permohonan.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan permohonan mereka ditolak.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa persatuan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh LPKP Sabah iaitu persatuan masih aktif dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang lesen aktif di daerah atau kawasan terbabit atau jumlah keahlian (yang juga pemegang lesen) adalah tiga kali ganda daripada jumlah Ahli Jawatan Kuasa Persatuan.

“Persatuan juga diwajibkan mengemukakan senarai keahlian berserta nombor rujukan lesen kenderaan perdagangan, salinan sijil pendaftaran persatuan berserta surat pengesahan keaktifan persatuan daripada RoS setiap tahun kepada LPKP Sabah.

“Maklumat lanjut mengenai syarat ini boleh dirujuk menerusi Pekeliling LPKP Sabah Bilangan 12 Tahun 2022, bertarikh 12 Ogos 2022,” katanya.

Pada masa yang sama, Kim Hiung turut mengingatkan pemegang lesen kenderaan pengangkutan awam di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk menyerahkan Laporan Maklumat Tahunan Penumpang kepada LPKP Sabah berdasarkan kepada tempoh yang ditetapkan.

“Makluman mengenai perkara ini telah dikeluarkan oleh LPKP Sabah sejak 8 April 2022 menerusi Pekeliling LPKP Sabah Bilangan 3 Tahun 2022.

“Saya berharap agar peraturan ini dipatuhi kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan lesen pengusaha terbabit dibatalkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|