Pemandu maut rempuh jengkaut parkir tepi jalan

Pemandu maut rempuh jengkaut parkir tepi jalan

Sandakan: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah jengkaut yang parkir di bahu jalan di Jalan Buli Sim-Sim, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal polis mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger bergerak dari pusat bansar menuju ke rumahnya di Batu 1½.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh jengkaut yang diletakkan (parkir) di bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|