Kes Ebit Lew: Kumpulan Whatsapp ‘NOBODY’ sudah tidak aktif – Firdaus Wong

Kes Ebit Lew: Kumpulan Whatsapp ‘NOBODY’ sudah tidak aktif – Firdaus Wong

Tenom: Saksi kes gangguan seksual membabitkan penceramah Ebit Lew memberitahu mahkamah, kumpulan Whatsapp ‘NOBODY’ yang diwujudkannya sudah tidak aktif.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong yang juga Pengasas dan Presiden Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, ia berikutan semua aduan mangsa berkaitan kes gangguan seksual itu sudah dikendalikan pihak polis.

“Group NOBODY tidak lagi aktif kerana semua aduan daripada mangsa-mangsa telah dikendalikan pihak polis dan polis turut menjalankan siasatan terhadap laporan mereka,” katanya ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada prosiding di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

Pada prosiding semalam, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa beliau kemurungan berdasarkan hantaran dibuatnya dalam kumpulan Whatsapp ‘NOBODY’ yang disertai tiga lagi individu lain kerana kerap melihat mesej berbaur gangguan seksual selain gambar kemaluan lelaki.

Sementara itu, merujuk kepada jawapannya sebelum ini yang menyatakan tidak bersetuju penubuhan kumpulan Whatsapp NOBODY adalah tidak selaras dengan prinsip MRM, Firdaus berkata kenyataan itu diberikan kerana antara prinsip organisasi berkenaan adalah semua perkara dilakukan hendaklah mematuhi syariat Islam.

“Selain itu, ia juga haruslah tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

“Maka penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi mendapatkan nasihat dari penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam,” katanya.

Terdahulu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di Mahkamah Majistret Tenom pada jam 9.55 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam ditemani barisan peguamnya.

Ebit berdepan 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|