Penduduk Flat Seri Indah rayu tindakan drastik pulihkan bekalan air

Penduduk Flat Seri Indah rayu tindakan drastik pulihkan bekalan air

Kota Kinabalu: “Paip yang ada cantik, tapi tiada air yang keluar. Bayangkan macam mana kehidupan kami,”.

Itu antara luahan penduduk di Flat Taman Seri Indah, Kuala Manggatal, dekat sini, berhubung gangguan bekalan air bersih sejak hampir enam bulan lalu.

Osman menunjukkan paip di rumahnya yang tidak mempunyai bekalan air bersih.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Osman Awang, 65, berkata, masalah ketiadaan bekalan air ini memberi kesan buruk kepada kehidupan harian lebih kurang 600 penduduk di flat itu.

“Bayangkan bagaimana kehidupan kami di mana rata-rata penduduk di sini adalah dalam kategori B40 dan miskin tegar.

Osman

“Sehinggakan ada yang berusaha untuk membeli air, ada juga yang berkongsi-kongsi untuk membeli tangki air. Setakat mana kemampuan.

“Saya sendiri, di dalam rumah saya terdapat dua orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan rapi, terutamanya memerlukan bekalan air yang banyak.

Norinah

“Bukan itu saja, pili bomba pun tidak ada air langsung. Sekiranya berlaku musibah di sini, air dari mana kita mahu dapatkan?,” luahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika mengadakan demonstrasi aman di Pekarangan Surau Flat Seri Indah, hari ini.

Dougie

Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk-penduduk di flat berkenaan untuk mendapatkan perhatian pihak berwajib, bagaimanapun tidak berhasil.

“Saya mohon kepada pihak berwajib untuk datang dan meninjau kami, ini bukan soal berpolitik tetapi kehidupan. Jadi kami mohon, bantu kami.

“Setakat ini Jabatan Air tidak pernah datang, wakil-wakil Jabatan Air tidak pernah datang meninjau. Sudah kami suarakan melalui surat, telefon, sampai ke pihak menteri pun sudah kami lakukan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norinah Abdullah, 23, berkata, masalah ketiadaan air ini turut memberi kesan kepada punca pendapatannya sebagai penjual kuih.

Keadaan mereka menjadi lebih buruk apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membeli bekalan air mineral sendiri untuk kegunaan harian.

“Bayangkan umur saya ini boleh dapat penyakit darah tinggi, sebab saya stres memikirkan semua pun pakai duit sedangkan pendapatan saya berapa sahaja dengan menjual kuih.

“Kalau dulu, dengan menjual kuih saya boleh jana sekitar RM100 sehari, tetapi sekarang hanya dalam RM40 sehari.

“Di rumah saya ada tujuh orang. Saya tinggal bersama suami, anak-anak yang masih kecil, anak buah dan ada adik saya yang baru sahaja bersalin,” katanya.

Sementara itu, Dougie Kurun, 47, berkata beliau merupakan penduduk tetap di flat berkenaan namun ini merupakan pengalaman yang paling teruk pernah dialami.

Beliau berharap agar pihak berwajib akan mengambil tindakan dengan pantas bagi memastikan bekalan air bersih di flat berkenaan kembali seperti sedia kala.

“Sebelum ini, setiap bulan kami membayar bil air, namun sekarang rata-rata penduduk siapa lagi mahu bayar kalau tiada air yang dinikmati?

“Saya berharap pihak berkuasa akan bertindak untuk melihat keperluan dan beri tindakan pantas agar air dapat disalurkan seperti sedia kala.

“Mungkin di tempat lain di luar sana pun banyak masalah, tapi inilah yang saya alami secara peribadi, merasakan kepayahan, kesusahan dan penderitaan yang dialami sama-sama oleh semua penduduk,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|