Rampas 23,800 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

Rampas 23,800 liter diesel bersubsidi cuba diseleweng

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tawau merampas 23,800 liter diesel bersubsidi yang cuba diseleweng dalam satu serbuan di stor penyimpanan bahan api itu di kawasan Jalan Air Panas, di sini, semalam.

Serbuan jam 3 petang oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Tawau turut menahan tiga lelaki warga tempatan yang sedang melakukan pemindahan minyak diesel bersubsidi daripada lori tangki ke dalam sebuah tangki besi di kawasan berkenaan.

Sam (kiri) membuat pemeriksaan terhadap aktiviti pemindahan minyak diesel daripada lori ke tangki besi di kawasan Jalan Air Panas, Tawau.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Tawau, Sam Aminudin berkata, serbuan itu dilancarkan hasil risikan yang dilakukan selama dua minggu di kawasan dipercayai stor penyimpanan haram minyak diesel bersubsidi.

Katanya, seramai enam pegawai penguat kuasa KPDN Tawau digerakkan ke tempat itu bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Penguat kuasa KPDN Tawau memeriksa lori tangki ketika serbuan di stor penyimpanan haram minyak diesel di di kawasan Jalan Air Panas, Tawau.

“Ketika serbuan, terdapat tiga lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 40 tahun sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lori dan tangki besi itu diubah suai serta berisi diesel bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sam berkata, semua barang kes termasuk tiga lori, 23,800 liter diesel, tujuh unit alatan sambungan, kompresor dan tangki besi hang diubah suai disita.

KPDN Tawau menyita lori yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stor penyimpanan haram bahan api berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM284,320 dan kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan.

“Sabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Sam berkata, pihaknya memandang serius isu penyelewengan barangan bersubsidi khususnya minyak petrol dan diesel.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan supaya segera melaporkan kepada pihak kementerian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|