Kuala Penyu: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di perairan Kampung Lambidan, di sini, hari ini.
Mangsa, Sharizan Sani, 39, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar memukat di kawasan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.59 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 38 kilometer.
“Menurut laporan, seorang lelaki dikhuatiri lemas di laut ketika menjalankan aktiviti memukat.
“Pasukan bomba termasuk unit K9 anjing pengesan kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi, mangsa belum ditemui setakat ini dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
-Deasoka