Hampir mati selamatkan mertua, anak sebelum dibantu bomba, APM

Hampir mati selamatkan mertua, anak sebelum dibantu bomba, APM

Kota Marudu: “Saya hampir mati untuk selamatkan mertua dan anak-anak. Tapi syukur selepas itu, pasukan keselamatan seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membawa kami keluar dari kampung,” kata seorang penduduk Kampung Sumbilingon, Julin Ongot, di sini.

Julin 63, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kota Marudu menceritakan detik mencemaskan ketika beliau berusaha menyelamatkan diri dan ahli keluarga apabila air tiba-tiba naik dan menjejaskan rumah mereka kelmarin.

Katanya, keadaan banjir di kampung mereka sangat berbahaya selepas air tiba-tiba naik sehingga paras 1.5 meter dan menenggelamkan sebahagian besar kampung.

Beliau berkata, dalam keadaan genting, dia terpaksa berusaha membantu ahli keluarga termasuk anak-anak untuk berenang ke tempat selamat sebelum dibantu anggota bomba dan APM yang datang menyelamatkan mereka.

Berikutan itu, beliau berterima kasih kepada pasukan keselamatan yag membantunya dan ahli keluarga aeeta penduduk kampung keluar ke PPS.

“Terima kasih kepada pasukan keselamatan yang tidak putus-putus datang untuk membantu penduduk keluar dari kampung yang dilanda banjir.

“Ini adalah kali kedua banjir berlaku di kampung kami tapi sebelum ini, tidak seteruk kali ini,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Komuniti Kota Marudu, hari ini.

Menurutnya, walaupun masih bersedih dengan keadaan rumah yang ditinggalkan, namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

Rukiah Pangadin, 70

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan, Rukiah Pangadin, 70, berkata, rumahnya di Kampung Geruntong ditenggelami sehingga paras leher.

Katanya, dia yang tinggal seorang diri bernasib baik kerana dibantu anak saudara yang tinggal pada jarak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Saya hanya sempat membawa barangan penting seperti dokumen diri dan beberapa keperluan lain keluar daripada rumah.

“Saya berharap, air tidak akan lagi meningkat sehingga masuk ke dalam rumah dan merosakkan barangan rumah,” katanya.

Rukiah berkata, beliau berharap selepas ini tidak akan lagi berlaku kejadian banjir kerana ia bukan saja membahayakan tetapi juga merugikan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|