Lelaki diselamatkan cuba terjun pangsapuri

Lelaki diselamatkan cuba terjun pangsapuri

Sandakan: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari sebuah pangsapuri, di Batu 7, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 20-an dikatakan cuba terjun dari bangunan berkenaan sebelum disedari penduduk sekitar.

Difahamkan, sebaik disedari, orang awam yang berada di lokasi kejadian terus menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.44 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan operasi memujuk mangsa untuk turun dari bangunan pangsapuri berkenaan.

“Mangsa akhirnya akur dan berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis yang turut hadir membantu di lokasi untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|