Kaki anak gajah terpaksa dipotong akibat terkena jerat

Kaki anak gajah terpaksa dipotong akibat terkena jerat

Kota Kinabalu: Pergelangan kaki hadapan kanan seekor anak gajah yang ditemui cedera di FELDA Sahabat 5, Lahad Datu Sabtu lalu terpaksa dipotong berikutan jangkitan kuman akibat terkena jerat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata anak gajah betina berusia kurang dua tahun itu pada mulanya ditemui orang awam sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah memeriksa pergelangan kaki anak gajah yang hampir putus akibat terkena jerat.

Katanya, Pasukan Penyelamat Hidupan Liar kemudian diarah untuk menjejaki anak gajah terbabit dan pemeriksaan mendapati ia mengalami kecederaan di kaki kanan hadapan akibat terkena jerat.

“Semalam, pemeriksaan susulan terhadap kecederaan mendapati kakinya hampir putus akibat kesan jerat terlalu ketat.

Bahagian tapak kaki hadapan kanan anak gajah terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman.

“Bagi mengelakkan tisu kaki menjadi lebih parah dan tidak berfungsi, bahagian pergelangan kakinya terpaksa dipotong oleh pegawai veteriner yang membuat rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jafry berkata Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat mengenai aktiviti pemasangan jerat yang mengancam hidupan liar termasuk gajah.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi talian 016-810 9901 dan tidak perlu risau mengenai kebocoran identiti kerana segala maklumat dirahsiakan.

“Saya amat merasa sedih kerana perbuatan tidak bertanggungjawab memasang jerat menyebabkan kecederaan yang parah kepada anak gajah itu.

“Perbuatan memasang jerat adalah satu tindakan yang amat kejam dan menyalahi Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Jafry berkata, bagi menyelamatkan anak gajah terbabit, pergelangan kakinya terpaksa dipotong menyebabkan hidupan liar itu bukan saja hilang peluang untuk hidup bebas bersama kawanan malah terpaksa hidup dalam keadaan cacat seumur hidup.

Selain itu, katanya pada umur kurang dua tahun, anak gajah masih memerlukan ibunya untuk menyusu dan berinteraksi sosial bersama kawanannya.

Katanya, berdasarkan peruntukan Seksyen 33 (1)(k)(iii), Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997, individu yang didapati bersalah memasang jerat boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memasang jerat untuk apa-apa tujuan sekalipun kerana perbuatan tersebut adalah menyalahi undang-undang.

“Saya juga menyeru kepada semua pengurusan ladang agar memaastikan pekerja mereka tidak memasang jerat di hutan kerana ini mungkin boleh mengaitkan ladang mereka dengan perbuatan kejam ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|