639 kekosongan jawatan kerajaan negeri tahun ini

639 kekosongan jawatan kerajaan negeri tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menawarkan sebanyak 639 kekosongan jawatan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) sepanjang tahun ini.

Pengerusi SPANS, Datuk KY Mustafa berkata setakat ini sebanyak 70 jawatan kosong sudah diiklankan dengan sebahagian daripadanya sudah diisi melalui sesi pengambilan pada awal tahun ini.

“Jumlah sebenar kekosongan jawatan dalam kerajaan negeri adalah lebih besar berikutan ada jawatan yang diisi melalui lantikan terus Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) negeri.

“Semua kekosongan membabitkan pelbagai jawatan dan taraf pendidikan bermula daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat ijazah.

“Melalui pengiklanan jawatan kosong SPANS, ia diharap dapat membuka peluang yang lebih luas kepada lepasan sekolah dan siswazah untuk terus memohon jawatan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu SPANS merekrut seramai 742 penjawat awam baharu negeri daripada 98,208 pemohon jawatan kosong yang diiklankan.

Bagi pengambilan penjawat awam baharu pada 2020, katanya sebanyak 524 kekosongan ditawarkan dengan 71,467 permohonan diterima.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|