Kes kematian bayi baru lahir disiasat – JKNS

Kes kematian bayi baru lahir disiasat – JKNS

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan berlaku kecuaian hingga menyebabkan seorang bayi baru dilahirkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Perkara itu yang tular di media sosial sejak semalam antara lain mendakwa berlaku kelewatan dalam mengendalikan kes seorang wanita yang mahu bersalin hingga bayi dalam kandungannya menjadi lemah sebelum dilaporkan meninggal dunia selepas dilahirkan.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin, mengesahkan berlaku kematian bayi baru dilahirkan di HWKKS yang dilaporkan pada 19 Jun lalu dan siasatan mengenai punca kejadian itu masih dijalankan.

“JKNS ingin memberikan maklum balas kepada hantaran yang sedang tular di media sosial berkaitan kes kematian seorang bayi baru lahir (stillbirth) di HWKKS, Likas.

“Terlebih dahulu pihak JKNS ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.

“Pihak JKNS mengesahkan insiden tersebut telah berlaku di HWKKS pada 19 Jun 2022. Siasatan terperinci dan telus sedang dijalankan oleh pihak jabatan ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa ibu kepada bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan beliau sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, pihak JKNS mengambil perhatian serius terhadap kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi menambah baik mutu perkhidmatan hospital.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|