Lelaki disamun, polis minta saksi tampil bantu siasatan

Lelaki disamun, polis minta saksi tampil bantu siasatan

Kota Kinabalu: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian samun membabitkan seorang remaja di Jalan Kampung Kitobu-Keronggu, Inanam, di sini, diminta tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku pada 14 Ogos lalu itu turut menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa disamun dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam.

“Kedua-dua suspek meragut beg sandang yang dibawa mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Kejadian turut menyebabkan mangsa cedera di dada dan kedua-dua tangannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta segera tampil membantu pihak polis.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Ab Zumin Ajamu di talian 014-5521425,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|