92 peserta layak terima lesen perkapalan kecil di Pagalungan

92 peserta layak terima lesen perkapalan kecil di Pagalungan

Nabawan: Seramai 92 peserta berjaya dalam pemeriksaan fizikal kapal kecil sekali gus layak mendapatkan lesen perkapalan kecil menerusi Program Super Youth Perlesenan Kapal Kecil di Pagalungan, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, adalah penting untuk pemilik bot kecil mendapatkan lesen supaya mereka tahu dan maklum mengenai tanggungjawab serta aspek keselamatan selaku operator bot kecil.

“Saya melihat ramai pemilik bot mahir dalam mengendalikan kapal kecil ini namun kurang arif mengenai aspek keselamatan diri serta penumpang dan tanggungjawab.

“Oleh itu, pelaksanaan program ini pastinya akan mendedahkan kepada pemilik bot supaya lebih cekap dan bertanggungjawab semasa mengendalikan bot kecil apatah mereka sekarang ini mempunyai lesen,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, pihaknya akan merangka satu lagi program perlesenan kapal kecil yang bakal diadakan pada November depan bagi memenuhi permintaan warga Pagalungan yang belum mendapat lesen berkenaan.

“Saya telahpun berbincang perkara ini dengan Pegawai Daerah Nabawan, Neldin Gimbang dan Timbalan Setiausaha Tetap KBSS (Sektor Belia), William Ahlan, akan ada program susulan berkaitan perlesenan kapal kecil memandangkan permintaan luar jangka oleh ramai warga Pagalungan yang berhasrat memiliki lesen.

“Bagaimanapun program yang bakal diadakan pada November itu akan menyasarkan mereka yang tidak tersenarai dalam program kali ini dan mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta haruslah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS),” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, kementeriannya dalam usaha untuk mengembangkan potensi sosioekonomi belia Sabah melalui Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

“SYABAS merupakan sebuah program baharu kerajaan Sabah di bawah seliaan KBSS bagi memacu pembangunan ekonomi belia Sabah.

“Saya ingin memaklumkan kepada warga Pagalungan program ini akan fokus kepada dua kategori bantuan kewangan iaitu RM2,000 bagi mereka yang baru memulakan perniagaan dan RM5,000 bagi mereka yang ingin mengembangkan perniagaan.

“Program ini terbuka kepada belia Sabah yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dan mempunyI lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Rebutlah peluang dan ruang ini terutama mereka yang layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan, hal ini penting bagi meningkatkan sosioekonomi anda di kawasan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|