Lelaki dipenjara 24 bulan selepas mengaku salah curi pakaian dalam wanita

Lelaki dipenjara 24 bulan selepas mengaku salah curi pakaian dalam wanita

Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencuri pakaian dalam wanita.

Majistret, Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Rizal dituduh mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, di sini, pada jam 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berjaya dirakam menerusi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh dengan tidak memakai baju mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa sebelum laporan polis dibuat.

Muhammad Rizal ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita berada dalam simpanan tertuduh.

Semasa rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nabila Norsahar yang mewakili tertuduh meminta hukuman ringan memandangkan Muhammad Rizal telah mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.

Nabila berkata, Muhammad Rizal telah bercerai dan mempunyai dua orang anak selain tidak bekerja dan dibiayai oleh keluarganya.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa Inspektor Albert Basiri meminta hukuman berat dikenakan memandangkan tertuduh melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.

Albert juga menekankan bahawa kesalahan sebegitu amat memalukan golongan lelaki.

“Kes ini melibatkan kepentingan awam khususnya wanita. Semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.

“Tertuduh juga mengaku bahawa dia berada dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan jenayah itu. Dia melakukan perkara ini untuk memuaskan nafsunya sendiri.

“Saya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|