31 Ogos perlu diingati sebagai Hari Sabah – STAR

31 Ogos perlu diingati sebagai Hari Sabah – STAR

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mahu rakyat Sabah menyedari pentingnya memperingati hari kemerdekaan Sabah atau lebih dikenali Hari Sabah sebagai detik bersejarah yang selama ini dilupakan.

Bagi meningkatkan kesedaran itu, STAR mengambil inisiatif melaksanakan program membawa bendera Sabah ke semua daerah sebagai simbolik memperingati dan menyemarakkan hari kemerdekaan negeri yang jatuh pada 31 Ogos.

Program yang dianjurkan Wiramaja STAR Sabah itu berlangsung sepanjang bulan ini dengan destinasi akhirnya di daerah Keningau yang menjadi lokasi acara kemuncak sambutan Hari Sabah anjuran STAR.

Ketua Wiramaja STAR Sabah, Felsie Joy selaku pengerusi penganjur Hari Sabah 2022, dalam satu kenyataan hari ini berkata sambutan Hari Sabah adalah untuk memperingati hari kemerdekaan negeri pada 31 Ogos 1963 selepas Gabenor Borneo Utara ketika itu, William Goode, mengistyharkan kebebasan Sabah daripada pemerintahan British.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran betapa pentingnya bagi kita untuk menyedari bahawa hari kemerdekaan Sabah berbeza dengan hari kemerdekaan Malaya.

“Sabah ada identitinya sendiri dan hari kemerdekaan kita sendiri. Ini yang membuatkan kita lain daripada negeri-negeri Malaya,” katanya.

Beliau menegaskan betapa penting bagi rakyat jati Sabah untuk memahami sejarah negeri ini kerana apa yang berlaku dahulu ada kaitan dengan situasi dan cabaran dalam aspek sosial, ekonomi dan politik yang dihadapi pada hari ini.

“Kita tidak dapat nafikan bahawa negeri Sabah masi sangat mundur berbanding dengan negeri-negeri lain dalam persekutuan Malaysia. Ini disebabkan oleh fakta sejarah yang tidak tepat yang mana penduduk Sabah tidak merayakan hari kemerdekaan mereka dengan betul.

“Bila kita tidak tahu untuk merayakan sejarah kita yang sebenarnya, amat sukar bagi kita untuk maju ke hadapan. Bagaimana kita mahu menjamin masa depan yang cerah jika kita tidak tahu asal usul sejarah kita sendiri?

“Oleh yang demikian, kita perlu sering bertanya diri sendiri apa maksud kemerdekaan bagi kita sebenarnya sebagai rakyat Sabah,” katanya.

Beliau juga berharap agar Hari Sabah dapat diwartakan sebagai perayaan rasmi negeri ini seperti disuarakan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini yang antara lain menekankan bahawa Sabah sudah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 sebelum menubuhkan Malaysia bersama Malaya, Sarawak dan Singapura 16 hari kemudian.

Felsie berkata, pada tahun ini, perayaan Hari Sabah akan berlangsung pada 30 Ogos di Pisompuruon Square, Tambunan untuk acara Ambang Merdeka, manakala pada 31 Ogos, sambutan Kemuncak Merdeka diadakan di Padang Bandaran, Keningau.

Acara itu, katanya dianjurkan bersama Parti Maju Sabah (SAPP) selain turut dijangka disertai parti politik lain dan badan bukan kerajaan (NGO).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|