Kadar indeks jenayah di Sabah meningkat 22.06 peratus

Kadar indeks jenayah di Sabah meningkat 22.06 peratus

Kota Kinabalu: Polis Sabah merekodkan peningkatan sebanyak 22.06 peratus atau 439 kes Jenayah Indeks di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, peningkatan itu menjadi kes tahun ini yang direkodkan adalah sebanyak 2,429 kes berbanding 1,990 tempoh sama tahun lalu.

Aksi Idris membaling bola bowling ketika Majlis Santai Sepetang PDRM bersama media Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun di Kota Kinabalu.

Katanya, 2,153 daripada kes itu adalah membabitkan jenayah harta benda yang meningkat sebanyak 24.25 peratus atau 423 kes.

“Jenayah kekerasan pula menunjukkan peningkatan sebanyak 6.15 peratus atau 16 kes bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

“Kontinjen Sabah juga menduduki tangga keempat selepas Perak untuk perbandingan jenayah indeks bagi tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santai Sepetang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Media Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun di sini, pada petang Rabu.

Idris berkata, bagi indeks penyelesaian kes pula, Sabah turut menduduki tempat keempat dengan penyelesaian 72.30 peratus daripada 14 kontinjen di seluruh negara.

“Jika dibandingkan statistik jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai 2019 (sebelum Covid-19) dengan 2022 bagi tempoh yang sama, terdapat penurunan yang agak ketara.

“Pada tahun 2019, jenayah indeks keseluruhannya adalah sebanyak 3,340 kes dan ini menunjukkan penurunan sebanyak -911 kes bersamaan dengan -27.28 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Idris berkata, PDRM Sabah akan terus berusaha dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menurunkan kadar jenayah supaya masyarakat berasa selamat.

“Namun, usaha ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama yang padu daripada masyarakat. Justeru, PDRM Sabah amat mengalu-alukan masyarakat menyalurkan apa juga maklumat dan aktiviti yang meragukan dalam menjaga keamanan negeri ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|