Lelaki cedera ketika menyelamatkan diri rumah terbakar

Lelaki cedera ketika menyelamatkan diri rumah terbakar

Papar: Seorang lelaki cedera ketika menyelamatkan diri sebaik menyedari rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Sabandil, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun luka di kaki dan rumahnya terbakar 90 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.56 pagi.

Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal terbakar 90 peratus. Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan ringan terluka di kaki ketika menyelamatkan diri.

“Mangsa kemudian diberi rawatan oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan daripada sumber air jentera dan pili bomba.

“Operasi terkawal pada 10.33 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 11.17 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|